Apa yang tersirat dan tersurat?.
Bagaimana untuk diterjemahkan saat bertemu seorang kawan lama barangkali bergantung pada tanggapan kita, penghormatan kita, kasih sayang kita, keakraban kita. Kadangkala tidak tahu mana satu yang lebih utama. Boleh jadi kasih sayang lebih utama....atau penghormatan...atau keakraban.
Satu hari di tanah suci aku bermohon pada tuhan untuk keampunan. Keampunan kepadanya yang maha besar. Disaat itu aku merasakan diri amat kecil dan seorang hamba yang sangat kotor. Diri ku penuh dosa-dosa, dosa kepada Allah....kepada ibubapa....kepada diri dan dosa-dosa pada teman2 .....
Tidak ramai barangkali teman bagi ku akan tetapi ada beberapa kesalahan ku amat menyentuh perasaan mereka. Jika aku sendiri tidak dapat melupakan apalagi mereka yang berkenaan. Aku bermohon pada tuhan agar disatu saat aku dipertemukan kepada individu yang ku lukai itu sebelum sebuah kematian menjemput ku , dan berikan aku kesempatan memohon kemaafan darinya dari hati kehati. Berat rasa tanggungan yang ku simpan dari tahun ketahun. Tercari-cari arah dan khabar dari insan yang tidak ku tahu entah mana berada. Seorang rakan karib dari kecil. Aku rasa malu pada diri. Memendam perasaan dan rasa bersalah bertahun-tahun.
" Apa yang awak buat itu sudah melampau ". Abah jergah aku.
" Awak tahu siapa dia? ". Mata nya bulat memandang tepat pada ku.
" Awak tahu tak abah dan mak dia orang susah. Awak suka-suka saja buat baju dia kotor. Abah hantar awak pergi sekolah bukan suruh berkelahi. Kenapa awak berkelahi macam budak lelaki". Letir abah geram.
Aku sakit kerana tidak dapat pembelaan. Abah sebaleknya menyokong dia. Abah nampak sayangkan dia. Hati ku yang sakit bukan di pujuk sebaleknya api menyala membakar diri ku pula. Di lubok hati abah amat sempati akan anak bernama N itu. Ayahnya hanyalah seorang nelayan, dia sendiri terpaksa membantu ayahnya membuat bubu, mengait jala dan jaring,kelaut menangkap ikan dan melandai udang untuk hidup. Dizaman itu hidup ku lebih baik berbanding dia kerana mak dan abah ku adalah kakitangan kerajaan yang bergaji tetap.
Aku insaf. Setelah lama perpisahan berlaku. Dalam resah ku menyimpan kesedihan yang tidak dapat ku lupakan akhirnya doa ku termakbul jua. Pertemuan kami begitu mengejutkan. Aku panik dan entah bagaimana nak ku takrifkan memang diluar dugaan. Sama-sama dalam kejutan. Barangkali ada reaksi keanak-anakkan kami berlaku semula di situ. Aku terasa kekok dan canggung disana sini.
Alhamdullilah biarpun sekejab cuma, aku bersyukur doa ku diperkenan. Perjalanan hidup kami selepas ini aku serahkan pada tuhan yang penting bagi ku aku sudah pun dapat melafazkan rasa kesal dan memohon ampun dan maaf keatas kesalahan ku yang lalu...yang membuat dia menangis dimarah ibu, merajuk sehingga lapar perut membawa diri ke pantai leka, berhari-hari tidak menegur ku. Sewaktu itu tidak terlintas di fikiran untuk aku untuk memohon kemaafan. Walaupun kami berkawan semula selepas itu dan semakin akrab. Begitulah sedikit kisah zaman remaja yang mencuit hati ku hingga bertahun-tahun. Terima kasih buat teman ku N kerana memberikan kemaafan yang amat berharga dan mengembalikan seribu ketenangan kembali dihati ku.
Petang semalam sekali lagi aku di kejutkan sebuah pertemuan seorang sahabat lama yang lain. Rohaya adalah teman sepermainan semasa aku kecil-kecil. Kami bermain pondok-pondok...kami memasak nasi dalam periok (tin susu), kami makan bersama-sama selepas itu....kami sempat main galah tidak kira masa biarpun di waktu matahari tegak diatas kepala..kami bermain pengantin-pengantin.Ah ha....amat seronok dizaman kanak-kanak kami. Begitulah kemanisan aku kecapi bersama Rohaya, sepupu-sepupu kak Pai, Atiah, Taufek, Udin semasa kami diam di rumah No 50, Jalan bakariah Muar.
Remaja kami yang penuh kenangan, aku tidak merasakan bandar Muar itu jauh apabila kami menyusuri kedai dan berjalan kaki sepanjang Jalan Salleh ketika perayaan Thaipusam, malam-malam keramaian di bandar Muar, di hari kemerdekaan Malaysia. Rohaya antara teman yang ceria dan kelakar. Selepas SPM kami berpisah mencari kehidupan masing-masing. Aku tidak pernah melupakan dia . Dalam dairy ku Rohaya ada dimana-mana. Rupanya sekian lama tidak berjumpa akhirnya kami dipertemukan semula semalam dalam saat yang begitu di Rumah kak Maimunah Dahlan, Di majlis perkahwinan Chif Manan. Wajah beliau yang ceria dan tidak banyak berubah membuat aku lega kerana dia masih sihat dan aktif seperti dulu.
Alhamdulliah. Inilah kawan-kawan lama yang tidak mudah untuk ku padam dari ingatan. Mudah-mudahan tuhan panjangkan usia kami untuk berkasih sayang, hormat menghormati dan menghargai lambaian kudus persahabatan sehingga keakhir hayat kami. InsyaAllah.
Mungkinkah pertemuan tadi adalah yang terakhir bagi kami. Dalam usia ku sekarang semuanya mungkin terjadi. Akukah yang akan terpanggil dulu?.
Apa pun akan berlaku selepas ini hanya tuhan yang maha mengetahui. Aku menghargai setiap pertemuan yang dikudratkan. Persaudaraan yang dijalin biarlah berkekalan hingga keakhir hayat. Hanya itu yang ku harap dari tuhan ku. Terima kasih untuk dua sahabat ku ini kerana masih ingat bayang-bayang ku dan menghargai masa silam yang teramat pahit tetapi masih manis buat kita bersama.
Apakah episod akan datang?.....Ku berserah pada Allah.

0 Input/Saranan:
Catat Ulasan