Lagu

26 Januari 2011

Punch Card yang terakhir.



Akhirnya aku benar-benar meninggalkan kerjaya seorang Jururawat apabila Lesen pengamalan Kejururawatan ku tamat tempuh tarikhnya pada 31 hb. Disembar 2010. Aku tidak muncul di mana-mana klinik swasta sebaliknya terus kekal sabagai Pesara Perkhidmatan Awam.


Dari kecil lagi sudah menjawab dengan berani pertanyaan guru..
" Latifah, dah besar nak jadi apa? ".
" Nurse ".
Satu perkataan. Aku tidak akan sebutkan lain kerana aku mempunyai 3 ibu saudara yang menjadi jururawat sedang bertugas di hospital Muar dan Johor Bahru di ketika itu.....Almarhummah Bonda Rasidah Ibrahim, Bonda Salimah Hj. Kassim , Bonda Zainab md. Yusof dan adik-adiknya dan juga Almarhummah Bonda Mariam Hj. Kassim . Dari kecil lagi aku sudah pun terbiasa dengan udara dan suasana kehidupan di hospital.

Bagaimana pun apabila remaja aku masih bercita-cita untuk menjadi jururawat tetapi mendapat tentangan dari abah kerana Jururawat di ketika itu memakai gaun putih..
Aku menunggu masa yang sesuai sambil menceburkan diri keperbagai bidang termasuk perguruan.

Kenapa aku begitu kuat bertekad untuk menjadi jururawat...

Di ketika itu aku begitu bersemangat untuk menjadi Sukarelawan. Aku yakin aku mudah mengunakan tiket perkerjaan ku untuk ke medan Perang...kedunia dan lubok insan yang lapar..ke lembah dan lurah yang berantakan serta runtuh oleh bencana alam, ingin menjadi insan pengantara dan penyembuh duka lara.

Aku juga sudah terdedah menjaga saudara yang buta sejak kecil lagi. Aku sudah biasa melayan kerenah dan degil insan yang cacat. Mereka mahukan apa yang di mileki oleh orang sihat seperti kita seadilnya untuk mereka dan mereka tidak rela diakal dan di ketepikan.

Dari sini aku belajar dan melatih diri. Aku tidak sesekali mudah memarahi pesakit dan pelanggan sesuka hati melainkan sesudah berfikir berpuluh kali. Aku tidak mudah bertengkar dengan kawan-kawan sekerja di hadapan pesakit kerana aku menimbangkan kesan dan kepercayaan orang awam kepada perkhidmatan awam. Aku memang selalu bersabar kerana aku sayangkan ilmu yang aku mileki dan pengharapan orang lain terhadap ku sebagai Jururawat . Biarlah pesakit menilai apa sumbangan aku sekalipun di saat tertentu aku merasakan sangat sedih dan terhina kerana kerjaya yang ku pileh itu.

Bagi ku sehingga ini aku masih seorang jururawat. Aku akan menjadi seorang jururawat sepanjang hayat dan akan berkhidmat secara sukarela pula walau dimana tempat berada. Ilmu yang aku milek ini meski ada orang lain turut punya, akan tapi jika terpaksa dan terdesak aku tidak pernah lupa dan boleh membantu sesiapa sahaja.

Menarik diri dari dunia perkerjaan barangkali menjadi tanda tanya kawan-kawan....

Aku sedar aku sudah tidak mampu bersaing dengan anak-anak muda, aku pernah terlibat dalam kemalangan yang melibatkan lori dan ambulan. Ambulan yang ku naiki bersama pesakit turut terbalek beberapa kali pada tahun 1995 ....dan sebenarnya aku telah pun cacat. Tulang bahu kiri dan kanan saya tidak mungkin kembali kepda asalnya. Tangan-tangan ku dari hari ke hari semakin lemah. Kerja-kerja ku di bidang perbidanan adalah kerja yang begitu mencabar memerlukan kudrat kekuatan tangan . Ingatan ku mulai tidak kuat mungkin kerana dari kesan yang sama . Aku tidak mahu berlaku apa-apa kemalangan dan kematian di sebabkan aku hanya mengejar gaji seorang jururawat yang lumayan itu. Amat merbahaya jika aku nafikan akan kekurangan diri . Aku sedar aku harus menumpukan seluruh tumpuan kepada kesihatan selepas melihat keadaan diri yang mengidap penyakit darah tinggi pula ketika usia ku 49 tahun. Pernah mabuk sewaktu bertugas sehingga termuntah-muntah dan jika berulang-ulang sakit itu tentu akan membebankan jabatan. Aku tidak pernah di wadkan dan aku jarang-jarang mendapatkan cuti sakit kerana prinsif yang pegang iaitu amanah kerja itu dari tuhan aku harus berusaha untuknya selagi terdaya. Aku telah menumpukan perhatian kepada tugas melebihi kesihatan diri selama ini, merasakan cukuplah sudah aku berbakti kepada jabatan dan sampailah waktunya untuk aku menumpukan perhatian pula kepada kesihatan diri dan keluarga.

Bertawakal dan berdoa dalam perkhidmatan jangan ada insan yang mati kerana kecuaian. Berdoa agar sihat sepanjang perkhidmatan, tidak mahukan cuti sakit kerana akan menyusahkan kawan-kawan. Berdoa akan meninggalkan perkhidmatan ketika rakan-rakan maseh sayang dan tidak ada seorang pun musuh di sisi aku . Berdoa akan tinggalkan tempat kerja yang terakhir dengan tenang tanpa tangisan teman-teman. rela melepaskan aku pergi walaupun terasa sangat sukar. Alhamdullilah aku pun pergi dengan cukup tenang..tidak ada majlis besar-besar menghantar aku ke gerbang pagar bangunan klinik, tidak ada lambaian dan barisan teman untuk aku kerana majlis perpisahan...kerana aku tidak merelakan diri aku diraikan seperti itu. Aku mahu selalu bertemu dan bersama mereka di situ seperti selalu. Jiwa kecil ku memerlukan mereka untuk bergurau senda dan mengubat kesunyian yang mungkin tiba di hati orang tua ini.

Tugas sebagai manusia belum tamat. Aku akan lalui jalan dan simpang yang lain. Aku sedar tuhan sentiasa menguji. Oleh itu walaupun aku tidak dapat membantu di medan perangan, tidak dapat menyertai misi kemanusiaan dalam tempuh perkhidmatan, aku dapat menempuhnya semasa menunaikan Haji di Mekah pada tahun 2006. alhamdullilah aku dapat berkhidmat untuk mereka yang memerlukan sekalipun aku sedang dalam beramal.

Aku sayangkan dunia Kejururawatan. Aku tidak berminat dalam pentakbiran. Sesungguhnya aku puas setakat inilah perjuangan ku sebagai jururawat kerajaan malaysia dan aku akan terus menjadi jururawat ketika saat mendesak. Insaalah. Sehingga kini aku terus mencari ilmu dan berdamping dengan dunia kejuruawatan.

Pesan ku untuk anak cucu....anda boleh menjadi seorang jururawat, tetapi jangan kejar pangkat, gaji, dan keistemewaan kerana ilmu kejururawatan itu akan kekal dan terpuji dari dasar hati yang ikhlas. Jaga perkataan bila berkata-kata...jaga mata masa memandang, jangan keji dan menghina dengan lirik mata kerana mata seorang jururawat akan luas pandangannya semasa perkhidmatan. Tidak lupa mendengar dan menapis setiap perkataan dengan akal. Akal yang panjang datangnya dari jiwa yang tenang. Selalu buat keputusan yang tepat supaya tiada nyawa yang hilang.

Tiada ulasan: